Agar-agar mungkin sudah biasa, namun agar-agar sedut dengan gabungan susu cair ini membuatkan resipi agar-agar yang satu ini cukup unik. Manis dan sedap bila digabungkan bersama perasa Sunquick dan pic dalam tin.

Resipi ringkas dan unik yang dikongsikan oleh Yatie Eimra ni mama wajib cuba. Memang sedap, lagi-lagi makan waktu sejuk. Terbaik!


Kat rumah boleh katakan kerap jugak la saya buat agar-agar sedut ni sebagai pencuci mulut sebab mudah je nak buat. Kami sekeluarga memang suka agar-agar sedut oren & pic ni. Nak-nak makan sejuk-sejuk, rasa nyaman je kat tekak.

Sedap dimakan macam tu je atau boleh jugak dimakan bersama susu cair mahupun susu segar. Jangan pelik lak ye, saya ni memang suka potong pendek agar-agar tali macam ni dan simpan dalam bekas.

Maklum le, selalu guna agar-agar tali sikit je sebab buat untuk 3 perut je pun. Agar-agar tali yang dipotong pendek jugak lebih mudah larut walaupun korang tak rendam dulu. Bagi yang nak cuba, ni saya sertakan resipi gunakan cawan penyukat standard.

IKLAN

Bahan-bahan:
2 sudu makan agar-agar tali (dipotong pendek)
2 sudu makan gula (saya guna 1½ sudu jer)
1 cawan air
1 cawan air gula pic (dalam tin)
2 sudu makan oren sunquick
Sedikit buah pic dalam tin – dipotong kecil

1. Masak agar-agar tali bersama gula dan secawan air hingga larut. Matikan api.

2. Tambahkan air gula pic dan pati oren sunquick. Gaul sebati.

3. Potong buah pic kecik² masukkan dalam bekas. Air gula pic tu ambil 1 cawan kalau guna cawan penyukat, 1¼ cawan kalau guna cawan minuman teh/kopi.

4. Sediakan bekas dan masukkan buah pic yang telah dipotong tadi. Curahkan larutan agar-agar. Sejukkan hingga agar-agar mengeras.

5. Sedap makan time sejuk.

Nota:

Tips ni bagi yang nak guna serbuk agar-agar. Sukat agar-agar serbuk ½ sudu kecil (sudu penyukat standard) kemudian buang/keluarkan secubit agar-agar tadi. Ataupun boleh juga sukat gunakan sudu kecil kfc (ratakan), kemudian buang secubit gak. Kalau tak nak buang sikit serbuk agar-agar tu pun takpe, tapi tekstur agar-agar korang akan lebih firm dan tak adelah rasa agar-agar sedut sangat.
Agar-agar sedut ni tak payah kunyah-kunyah, telan jer terus.. aaa.. tapi potongan buah nyer tu jangan terus ditelan lak, tercekik lak kang.

Jika sukat gunakan cawan minuman teh/kopi, gunakan 1¼ cawan air & 1¼ cawan air gula pic.
Gunakan bekas yang lebar & jangan tuang terlalu banyak/tebal kalau nak cepat keras. Agar-agar ni saya masukkan dalam 2 bekas sebab nak cepat keras. Dalam 45-60 minit dah mula mengeras & boleh dinikmati cumanya tak berapa sejuk la.
Yang saya buat ni sikit jer Gandakan sukatan sendiri ye kalau nak buat banyak.
Selain buah pic, boleh gantikan nanas dalam tin ataupun potongan buah mangga, memang cengginiii rasa dia.