Kementerian Kesihatan (KKM) melalui kenyataan rasminya memaklumkan bakal melaksanakan pemberian vaksin pneumokokal bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk kanak-kanak di semua Klinik Kesihatan KKM di seluruh negara, bermula 1 Disember ini.

Bantu cegah penyakit jangkitan bakteria pneumokokus

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin pneumokokal konjugat (PCV) diberikan untuk mencegah penyakit disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae atau pneumokokus yang boleh mengakibatkan penyakit radang paru-paru (pneumonia), radang sinus (sinusitis), jangkitan telinga tengah (otitis media), radang selaput otak dan saraf tunjang (meningitis) serta jangkitan bakteria dalam darah (septicaemia).

Katanya, komplikasi penyakit pneumokokal termasuk cacat pendengaran, kecacatan otak dan kematian.

“Pemberian vaksin pneumokokal kepada kanak-kanak bertujuan mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti akibat penyakit pneumokokal dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

“Ini seterusnya dapat mengurangkan kos rawatan penyakit pneumokokal dan komplikasinya. Walaupun penyakit pneumokokal boleh dirawat dengan pemberian antibiotik, namun terdapat beberapa strain bakteria pneumococcus yang mempunyai kerintangan terhadap antibiotik,” katanya dalam kenyataan media (24 November).

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, pemberian vaksin pneumokokal adalah kaedah paling berkesan untuk menghalang jangkitan bakteria pneumokokus dan secara tidak langsung mengurangkan kerintangan terhadap antibiotik.

Kanak-kanak lahir 1 Januari, layak terima suntikan

IKLAN

Beliau berkata, melalui pemberian PCV, kanak-kanak akan diberikan sebanyak tiga dos iaitu dua dos primer pada usia empat bulan dan enam bulan; diikuti dengan satu dos penggalak (booster) pada usia 15 bulan.

Katanya, kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya adalah layak menerima suntikan vaksin pneumokokal di klinik kesihatan KKM, yang mana ibu bapa perlu membuat temujanji bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan kepatuhan kepada normal baharu dalam usaha mencegah penularan penyakit Covid-19.

Katanya, bagi kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya yang sudah berusia lima bulan atau lebih, jadual imunisasi pneumokokal akan disesuaikan mengikut umur oleh fasiliti kesihatan KKM.

Beliau berkata, KKM turut membenarkan ibu bapa mempunyai anak yang lahir bermula 1 Januari 2020 dan seterusnya yang sudah mengambil satu atau dua dos suntikan vaksin pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta untuk memilih untuk melengkapkan jadual imunisasi pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta atau di klinik kesihatan KKM.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, pemberian vaksin pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta tertakluk kepada caj yang dikenakan oleh fasiliti kesihatan swasta.

“Ibu bapa yang memilih untuk melengkapkan imunisasi pneumokokal di klinik kesihatan KKM dinasihatkan membawa bersama rekod imunisasi anak mereka, bagi memudahkan urusan penjadualan imunisasi oleh anggota kesihatan di klinik kesihatan KKM.

“Vaksin pneumokokal yang akan digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan untuk tempoh dua tahun pertama pelaksanaan adalah vaksin PCV-10 (Synflorix) yang memberi perlindungan terhadap sepuluh ‘serotype’ bakteria pneumokokus, merangkumi ‘serotype’ 1, 4, 5, 6B, 7F, 9V, 14, 18C, 19F dan 23F serta memberi perlindungan ‘cross-reactivity’ terhadap ‘serotype’ 19A,” katanya.

Vaksin berkesan dan selamat

Mengulas tahap keselamatan PCV, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan kepada pemantauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 156 negara menyenaraikan vaksin itu dalam Program Imunisasi Kebangsaan mereka.

“Seperti vaksin lain yang digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan, ia adalah vaksin yang berkesan dan selamat.

“Bagi memastikan semua vaksin berdaftar yang digunakan di Malaysia kekal selamat, kesan advers susulan imunisasi vaksin dipantau rapi oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM,” katanya.

Bagi tujuan ini, beliau berkata, ibu bapa perlu melaporkan sebarang kesan advers yang dialami oleh anak mereka kepada anggota kesihatan selepas setiap suntikan dengan mengembalikan borang pelaporan, walaupun kesan yang dialami adalah ringan seperti merah di tempat suntikan.

Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan mengenai pelaksanaan pemberian vaksin pneumokokal, sila hubungi KKM di talian 03-8883 4003 pada hari Isnin hingga Jumaat (tidak termasuk cuti umum) dari jam 9 pagi hingga 5 petang, atau ajukan persoalan kepada emel imunisasi@moh.gov.my. Ibubapa boleh juga mengunjungi mana-mana klinik kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Sumber: Kenyatan Akhbar KP Kesihatan & Metro

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)