Tidak mungkin bahtera rumah tangga berjaya tanpa usaha dari kedua-dua pihak. Perjalanan dalam mengharungi sesebuah rumah tangga bukanlah sesuatu perkara yang mudah, senang tetapi ia memerlukan tanggungjawab bersama untuk mengharunginya.

Sedikit perkongsian daripada Norhayati Abu Bakar tentang alam perkahwinan yang boleh dijadikan panduan buat semua.

Masih terkejut dengan kenyataan bahawa ‘motherboard’ komputer tidak dapat diselamatkan sehingga saya lupa mengucap selamat ulang tahun perkahwinan Syamil Muhammad dan Nurul Ain Zakaria.

Semalam saya ke kedai bersama suami kebetulan terjumpa dulang kecil berlatar belakang Republic Checz, saya tunjukkan kepada suami.

Nak buat apa?’
‘Hadiah kat Ain, tapi birthday dia lambat lagi’ (memang tak ingat langsung hari anniversary mereka, sedangkan malam sebelumnya suami sudah maklumkan sebab ada ingatan dari aplikasi di fonnya)

Akhirnya dulang kecil itu saya letak kembali.

Bulan Ogos banyak mencatat sejarah besar dalam keluarga. Beberapa ulang tahun kelahiran dan ulang tahun perkahwinan juga.

Sedar tak sedar sudah tujuh tahun usia perkahwinan mereka. Kata para kaunselor 10 tahun pertama adalah tempoh perkenalan, mencari titik kesamaan dan penuh dengan cabaran.

Tidak mustahil ada pasangan yang berpisah seawal enam bulan berkahwin. Di suatu masa terdengar perbualan suami dengan seorang jurugambar professional.

‘Oh! saya dah tak ambil gambar perkahwinan. Kos tinggi sebab saya memang akan edit bagi betul betul cantik. Kadang ambik masa berbulan juga tengok kalau banyak jobs. Sedihnya bila setelah bersengkang mata berbulan siapkan, pelanggan tak nak ambik album dan langsaikan baki. Alasan? Kami dah bercerai. Masyaalah tepuk dahi saya’

Menyaksikan fasa perkahwinan anak anak sudah pasti ada masa kami turut tidak lena malam dan bangun membuat solat hajat muga Allah limpahkan kesabaran dan kasih sayang dalam rumahtangga mereka.

IKLAN

Meski kami tidak suka campurtangan urusan rumahtangga anak anak tetapi sesekali kena juga pengadil turun ke padang. Menegur dan mencadangkan solusi. Malah pernah juga pasrah menyerah kepada Allah apa sahaja jalan keluar yang dirasakan baik untuk keluar dari kemelut yang melanda.

Berkahwin bukan sekadar menghalalkan hubungan tetapi lebih jauh dari itu. Mencari keserasian, melengkap kekurangan, menerima buruk dan baik pasangan juga bersusah senang bersama. Hasrat setiap pasangan tentu mahu bercinta hingga ke syurga.

Untuk mencapai bahagia juga perlu ilmu. Baca, dengar dan lihat contoh hidup. Paling penting masing masing tahu hak yang perlu ditunaikan. Betapa cekap sekalipun tahap keupayaan isteri mengurus hal rumahtangga dan kehidupan suami tidak sesekali boleh lepas tangan. Berkahwin untuk mengambil tanggungjawab dan memberi kebahagian. Bukan mengambil kesempatan

Saya pernah berbincang dengan suami tentang saudara mara yang berkahwin berkali kali dan membesar anak tiri bersama. Jelas suami, orang dulu dulu tidak ada kemampuan kewangan. Jadi bila suami mati atau dicerai keluarga akan berusaha mencari jodoh baharu supaya kehidupan isteri dan anak anak terjamin. Istilah kahwin salin tikar, kahwin sepupu dan kahwin dua tiga kali itu perkara biasa dalam masyarakat ketika itu.

Zaman sekarang wanita sudah punya kemampuan kewangan yang kukuh dan mereka tidak perlu mengharap suami menyara kehidupan. Maka keperluan mencari suami baharu dan mungkin trauma dari perkahwinan lepas membuat mereka tidak tergesa berkahwin lagi. Ada yang menunggu anak anak dewasa, berkahwin baharu mereka memikir tentang diri mereka. Mungkin untuk mengisi kesepian.

Ya! Setiap rumahtangga adalah satu pelayaran yang panjang. Ada yang mampu menentang arus dan badai, ada juga yang belum apa apa sudah terhempas menghempap batu karang.

Semalam saya terima pesanan dari seorang teman. Sesuatu yang baik juga untuk dikongsi. Penulis asal tidak pula dinyatakan tetapi yang baik itu kita tetap terima sebagai panduan. Muga ada manfaatnya.

*9 Nasihat Terbaik Dari Seorang Hakim Yang Mengendalikan Satu Kes Kekeluargaan di Mahkamah Syariah*

1. Jangan galakkan anak dan menantu perempuan anda tinggal bersama anda.

Sebaiknya, minta mereka berpindah walau pun terpaksa menyewa rumah. Lebih jauh lebih baik. Ini bertujuan untuk menjaga perhubungan yang lebih baik di masa hadapan.
(ini yang kami amalkan kata orang dekat bau tahi jauh bau bunga)

2. Layani menantu perempuan anda seperti menantu, bukannya seperti anak perempuan anda.

Anak lelaki anda sentiasa menjadi anak anda. Tetapi, jika anda melayan menantu perempuan seperti anak apatah lagi jika anda pernah memarahinya maka menantu anda akan ingat sehingga mati. Dalam kehidupan dia selama ini, hanya ibu dan bapanya sahaja yang layak memarahinya.
(Betul tu, walau betapa ikhlas menerima mak mertua, hati tetap akan terasa. Dan layan menantu sama rata supaya tak nampak ada diskriminasi. Kadang kita tak sedar, pasangan kena tegur ni)

3. Apa saja karakter atau tabiat yang menantu anda ada bukanlah masalah anda.

Itu adalah tanggunjawab anak anda untuk memperbetulkan apa yang tidak betul.
(boleh bercakap baik baik dengan anak, minta mereka menegur pasangan tetapi jangan bagitau mak suruh bagi tahu, pandai pandailah cipta ruang dan cara bak kata orang bagai menarik rambut dalam tepung)

4. Jangan sesekali basuh pakaian, memasak dan menjaga cucu anda melainkan diminta oleh mereka.
(sesekali okaylah supaya mereka tidak pula rasa selesa dan ambil kesempatan di atas kerajinan anda).
Akan tetapi jangan mengharap balasan di masa mendatang. Usah terlalu risau dengan kemampuan mereka kerana mereka lebih tahu apa yang patut dilakukan.

5. Berpura-pura menjadi bisu dan pekak apabila mendengar anak dan menantu anak bergaduh.
(ini betul kalau mereka tak bercerita atau bertanya pandangan jangan sibuk sibuk bertanya)
Jangan masuk campur. Itu adalah perkara biasa bagi pasangan yang mendirikan rumahtangga. Mereka tidak gemar orang lain ikut campur.

6. Cucu anda adalah hak mutlak ibu dan bapa mereka.
(betul tu jangan atur hidup anak anak. Biar mereka urus anak mereka. Tolong sekali sekala bolehlah)

Bagaimana mereka ingin membesarkan cucu anda terpulang kepada mereka. Baik atau buruk itu urusan mereka.

7. Menantu anda tidak perlu respek dan melayan anda.
(pemilihan menantu juga penting supaya ada keserasian dari awal, jika bukan menantu pilihan kena belajar menerima hakikat menantu sudah bantu mengambil alih sebahagian tugas anda)

Itu adalah tugas anak lelaki anda. Anda sepatutnya sudah memberi didikan terbaik dan anak anda mampu mengajar isterinya untuk menghormati anda.

8. Buat perancangan awal sebelum anda bersara.
(betul sangat. Rancang apa mahu dibuat supaya dapat mengisi hari tua dengan apa yang selama ini tidak mampu dibuat. Lebihkan masa memupuk kasih sayang dengan pasangan bukan dengan cucu cucu)

Jangan harapkan anak anda. Anda telah pun berjalan jauh dalam kehidupan dan masih banyak lagi yang boleh dipelajari. Seperti kata pepatah Inggeris, “It is your own interest that you enjoy your retirement years. Better if you could utilise & enjoy everything that you had saved before you die. Don’t let your wealth become worthless to you.”

9. Cucu bukan milik anda.

Mereka adalah hadiah dari Tuhan kepada anak dan menantu anda.
(sangat setuju)

Pesanan di atas bukan hanya untuk anda. Kongsikan pada sahabat, pakcik, makcik, keluarga mertua, suami atau isteri anda supaya anda boleh mengecapi kehidupan yang lebih sempurna.

Wallahualam… 🙏🏻🙏🏻🙏🏻🤲🏼🤲🏼🤲🏼