Sering kita dengar, ibu mertua tidak suka dengan pilihan anaknya. Malah ada juga menantu yang tidak berusaha untuk berbaik dengan ibu mertua. Kesannya timbul persengketaan dalam kekeluargaan. Cucu juga akan terkesan, kasih sayang mereka kurang dan boleh meninggalkan kesan negatif dalam perasaan mereka. Ibu rose berkongsi sebuah penulisan untuk semua.

Sesuatu yang Ibu belajar dari University of Life mengenai satu perkara ini, maaf ya sekiranya bila membawa perkara ini kehadapan boleh menimbulkan rasa marah pada segelintir manusia. Namun, rasanya peringatan ini perlu disampaikan.

Wahai ibu-ibu dan bapa-bapa mertua, janganlah membenci pasangan anak-anak mu. Walaupun mereka bukan pilihan hati mu, mereka adalah jodoh anak-anakmu.

IKLAN

Jika kamu membenci mereka terlalu sangat dan berusaha memisahkan mereka dengan segala macam usaha yang mencederakan fizikal, emosi dan mental, ianya akan hanya mencederakan dirimu di dunia dan di akhirat.

Adalah lebih mudah untuk hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti serta hidup mereka dan keluarga mereka, bila segala tenaga itu kita alihkan untuk mengindahkan pertalian kita dengan mereka. Anak kita juga akan selesa dan tidak berserabut.

Cucu-cucu kita juga akan merasakan kasih-sayang kita. Menantu kita juga akan lebih menghormati kita.

Kebencian boleh membawa kepada banyak kesan negatif pada bukan hanya pada menantu yang tidak disukai, tetapi kepada anak-anak yang bakal dilahirkan dari zuriat itu.
Bagi para menantu yang tidak mempunyai perhubungan baik dengan mertua dan sering disakiti perasaan, banyak-banyakkanlah mengalah dan berdoa agar Allah menurunkan perasaan ehsan ke dalam diri mertua.

Elakkanlah mengeruhkan lagi keadaan dengan menghasut pasangan. Ingatlah sebelum dia itu menjadi pasangan kita, dia adalah anak mereka. Banyak masa, tenaga, airmata dalam membesarkan dan mendidik pasangan kita itu. Tentunya di situ perlu kita menghargai.

Belajarlah mengambil hati walaupun ianya sukar.

Ibu telah melihat terlalu banyak kesan negatif kepada anak-anak yang dilahirkan dalam persengkataan diantara menantu dan mertua. Kasihan sungguh kepada anak-anak itu.
Kita perlu sedar diri, setinggi mana pun ego, pangkat dan hebatnya keturunan kita, akan tiba masanya kita akan dikapankan dan masuk ke liang lahad.

Ya Allah dikau lembutkanlah hati kami dan isikannya dengan perasaan kasih-sayang kepada sesama manusia kerana MU.

Sumber: Ibu Rose