Segala kekurangan dan kelemahan pasangan merupakan kekuatan bersama dan seharusnya ia diharungi bersama. Namun yang menjadi masalah hari ini, kebanyakan pasangan tidak memahami konsep perkahwinan yang saling melengkapi. Sebab itulah seringkali penceraian yang berlaku antara pasangan akan disusuli dengan kata-kata ‘tiada keserasian’ atau ‘tiada kesefahaman’ lagi.

Namun bagi yang faham konsep saling melengkapi, mereka akan menerima pasangan seadanya dan saling memberi nasihat untuk pastikan suami atau isteri dapat sama-sama melayari rumah tangga dengan bahagia.

Melalui apa yang dikongsikan oleh Farahwahida Ahmad, pasangan kita adalah jodoh yang sesuai. Cuma untuk menjadikannya sempurna antara kitalah yang perlu saling melengkapi. Jangan sesekali mempertikaikan kekurangan pasangan tetapi cubalah untuk memperbaikinya dan jika ada kelebihan, raikanlah.

IKLAN

Pandang muka suami kita, siapa pun dia, itulah yang Allah dah pilihkan sebagai jodoh kita. Semua buruk baik dia boleh jadi asbab kebaikan untuk kita. Mungkin untuk Allah beri pahala untuk sabar kita. Pasti ada sebabnya. Mungkin untuk tundukkan ego kita.

MasyaAllah. Indahnya kesudahan seorang isteri andai dia mati dalam mendapat redha seorang suami. Janji Allah pasti. Isteri yang diredhai suami boleh masuk mana-mana pintu syurga yang disukainya.

Banggalah jika suami dapat membantu kita menyapu sampah, tolong masak, tolong jaga anak, tukarkan pampers anak, tolong tidurkan anak.

Setiap hari, ayuh simpan niat untuk jadi isteri yang baik. Isteri yang lebih baik dari semalam! Allah pasti beri ganjaran sekecil kecil usaha kita. Allah pandang usaha kita. Jadi kita cuba dan cuba jadi yang baik.

Setiap hari berdoa moga kita dapat menjadi isteri penyejuk hati suami. Moga kita semua tergolong dalam golongan para isteri yang diredhai Allah, diredhai suami.

Sumber: Farahwahida Ahmad

**Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi