Ketika anak-anak masih memerlukan kasih sayang seorang ayah, janji Allah itu pasti apabila ayah yang dikasihi telah dijemput ilahi dalam kemalangan di Kilometer 18.3 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Petaling Jaya, beberapa hari lalu.

Melalui perkongsian FB isteri arwah Ahmad Softwatullah Shahrin, Malihah Abdul Halim, walaupun arwah suami pergi dalam keadaan mengejut, dia tetap bersyukur urusan pengebumian suaminya berusia 29 tahun berjalan lancar dan dipermudahkan.

Syukur dikelilingi orang yang baik-baik

Meskipun agak berat ujian ini dalam keadaan anak yang masih kecil, dia tetap bersyukur mempunyai ahli keluarga serta mentua yang baik hati dan menjadikan dirinya kekal tenang bagi menghadapi ujian tersebut.

Walaupun suami sudah pergi buat selamanya, Syukur Alhamdulillah dikurniakan keluarga dan keluarga mertua yang sangat-sangat baik, supportive dan penyayang. Tanpa mereka, tidak tahulah apa akan jadi pada saya. Allah Maha Mengetahui. Mereka sungguh tenang menghadapi ujian kehilangan orang tersayang, menjadi contoh untuk saya kekal tenang dan kuat.

“Sentiasa merindui dan doakan abang”

“Walaupun sudah tiada kedengaran gelak ketawa abang, nasihat, dan layanan yg baik utk saya & anak-anak, kami tetap akan sentiasa merindui dan mendoakan abang di sana.

Ramai sangat yang sayang dengan abang tapi Allah lebih menyayangi abang. Selesai sudah tanggungjawab abang di dunia ini, berehatlah abang di sana. Sungguh tenang wajah abang, nampak macam tengah tidur.

IKLAN

Akan jaga amanah ini sebaiknya

Saya akan jaga hero-hero kita sebagaimana abang menjaga dan mendidik mereka, penuh rasa sayang dan kasih. Terlalu banyak kebaikan abang jika nak disebutkan satu persatu. Terima kasih Allah meminjamkan seorang suami yg sangat penyayang selama 5 tahun lebih.

Saya menjadi saksi bahawa abang seorang suami yang sangat bertanggungjawab, tidak pernah mengabaikan keluarga walau sedikit pun. Semoga diampunkan semua dosa abang, diluaskan dan diterangkan kubur dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Amin ya rabb.”

Tinggalkan 3 anak dan seorang masih dalam kandungan

Sementara itu, menurut satu posting di FB rakan arwah iaitu Najmi Farisham, difahamkan Allahyarham Ahmad Sofwatullah turut meninggalkan bayi dalam kandungan isterinya yang kini sedang hamil.

“Sahabat kami meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak kecil dengan seorang daripadanya masih di dalam kandungan.

“Tiada lagi gelak tawa dan gurau dari arwah kepada isteri dan anak anak. Tiada lagi tempat untuk keluarganya berteduh kasih dari seorang suami dan ayah,” katanya.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal bergesel dengan sebuah lori menyebabkan terjatuh lalu digilis kenderaan tersebut.

Kredit: Malihah Abdul Halim; Najmi Farisham

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)