Tak dapat bayangkan apa yang dilalui oleh seorang ibu muda yang terpaksa berpisah dengan bayi yang baru dilahirkan ekoran penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak awal tahun ini.

Hanya air mata yang menemani saat disatukan semula dengan anak yang ketika kini sudah berusia lima bulan. “Irfan, ini adalah ibu,” itulah ungkapan pertama Nurhaslisa Jehawee, 18 apabila dapat memangku anak bongsunya di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Songkhla hari ini.

Dengan linangan air mata, Nurhalisa mendukung bayi lelaki berusia lima bulan yang terpisah susulan penularan pandemik COVID-19 sekali gus menyebabkan penutupan sempadan Malaysia-Thailand.

“Saya sangat gembira. Akhirnya, dapat mendukung anak saya buat kali pertama selepas lima bulan. Saya dan keluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi membantu dan menderma kepada kami.

IKLAN

“Ia membantu kami melangsaikan bil hospital dan membawa pulang Irfan ke pangkuan kami,” katanya.

Menurut laporan Bernama Hasil bantuan dan derma orang ramai, Nurhalisa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kajang dan suaminya Muhammad Tifyoleah, 28, berjaya mengumpul wang untuk menyelesaikan bil hospital termasuk kos bersalin berjumlah hampir RM30,000.

Irfan dilahirkan ketika kandungan ibunya berusia tujuh bulan di Hospital Kajang pada 27 Feb lepas, namun terpaksa meninggalkan Irfan yang ketika itu di bawah pemantauan doktor, untuk memperbaharui visanya dan suami yang tamat tempoh pada 18 Mac lepas.

Susulan COVID-19 dan penutupan pintu sempadan Malaysia-Thailand, pasangan itu tidak dapat kembali semula ke Malaysia untuk mengambil anak bongsu mereka di Hospital Kajang.

Irfan diiringi dua jururawat dari Hospital Kajang bertolak pada pukul 8.45 malam tadi dan tiba di CIQ Sadao pada pagi ini, kemudiannya dibawa ke Hospital Pattani untuk pemeriksaan lanjut.

Bayi berkenaan akan menjalani kuarantin wajib bagi warga Thai yang pulang dari luar negara.

Sumber: BERNAMA

Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi.